Misi Ke Yaman

|

Sana’a, Yaman-28.11.2010: Alhamdulillah, rombongan Markaz Tarbiyyah Islamiyyah Darul Bayan selamat tiba di Yaman selepas beberapa hari penerbangan dari Malaysia ditangguhkan. Rombongan ini disambut oleh Exco Perhubungan Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman (PERMAYA) beserta beberapa orang pelajar Malaysia di Yaman. Rombongan Darul Bayan ini diketuai oleh Ustaz Jamaludin Bin Jusoh, Timbalan Pengerusi Markaz Tarbiyyah Islamiyyah Darul Bayan, diringi Ustaz Syed Mohd Azwan Bin Syed Yahya, PK1 Sek. Men. Islam Darul Bayan (SMIDB) yang juga merupakan Mantan Presiden PERMAYA.

Misi rombongan ini ke Yaman adalah untuk menghantar 5 orang pelajar Darul Bayan (3 orang pelajar Maahad Tahfiz Darul Bayan, 2 Pelajar Madrasah Darul Bayan lebih dikenali dengan nama Pondok Pinang Merah) melanjutkan pelajaran mereka dalam ilmu Agama Islam disana. Mereka adalah Hassan Abdul Rahman, Mohd Syamil Malek, Wan Mohd Affizal Rukhaini, Mohd Aizad Zulkifli dan Wan Mohd Tholhah. Mereka ini adalah kumpulan kedua yang dihantar ke Yaman pada tahun 2010 ini. Sebelum ini, pada 15 Syawal 1431, 2 orang pelajar Madrasah Darul Bayan telah berangkat ke Yaman iaitu Nasrullah Bin Awang Muda dan Mohd Syamil Bin Che Anuad.

Selain itu, tujuan rombongan ini ke Yaman adalah untuk meninjau keadaan semasa pelajar-pelajar mereka di samping melihat sendiri suasana pembelajaran di sana. Yaman ternyata masih mengekalkan budaya ilmu. Selain dari pelajaran formal di Jamiah yang banyak di Sana’a terutamanya , pembelajaran secara talaqi di masjid-masjid masih subur. Ini memberikan banyak peluang dan ruang secukupnya untuk pelajar mendalami ilmu agama.

Dalam siri rombongan ini, Ustaz Jamaludin dan Ustaz Syed Azwan dijemput memberikan taujihat dan amanat dalam Majlis Khas yang di anjurkan oleh PERMAYA. Rombongan ini juga turut mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Yaman yang disambut oleh Setiausaha Ketiga, En. Hamdan Bin Abdullah. Rombongan ini juga turut berkesempatan mengunjungi beberapa tempat bersejarah di Yaman seperti Bab Al-Yaman ,Darul Hajr dan Bandar Sana’a yang tidak pernah dijajah walaupun sekali.

Rombongan ini berangkat pulang ke Malaysia pada 9.12.2010 jam 3.25 petang waktu Yaman. Semoga pelajar-pelajar Darul Bayan terutamanya yang melanjutkan pelajaran di sana belajar dengan tekun untuk mendalami ilmu Agama selari dengan moto Darul Bayan Ke Arah Melahirkan Generasi Berilmu, Beriman, Beramal dan Berjihad. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada penderma, penyumbang dan penaja yang membantu pelajar kami melanjutkan pelajaran mereka. Semoga Allah memberikan ganjaran kebaiakan berlipat kali kepada kalian.

Read More !

slide

Ideal-helper's Photo Gallery